JERAM PASU TERBIAR
PASIR PUTEH, KELANTAN: Semenjak banjir kuning atau "bah kuning" yang melanda Kelantan pada bulan Disember 2014 lalu, keadaan Hutan Lipur Jeram Pasu yang letaknya di Kampung Padang Pak Amat dikatakan terbiar.
Akibat air terjun ini terbiar tanpa diberikan perhatian, beberapa batang pokok besar tumbang telah merintangi laluan tangga tingkat satu jeram berkenaan. Dua batang kayu besar didapati tumbang menyusuri tebing jeram berkenaan. Sementara sebatang pokok besar didapati merintangi jeram ini yang turut menghalang laluan air jeram untuk mengalir ke bawah.
Keadaan dalam air jeram juga dilihat tidak seceria sebagai air terjun kerana kelihatannya kotor disebabkan ranting dan daun-daun yang gugur tenggelam di dasar jeram itu. Sementelah pula keadaan pasirnya tidaklah seceria sebelum ini. Malah ada pengunjung yang "melepas hajat" dengan menimbuskan najis mereka ke dalam pasir jeram ini yang menimbulkan bau busuk.
Mungkin disebabkan tabiat segelintir pengunjung yang pengotor, tetapi puncanya apabila tandas tidak berfungsi dan ditutup. Bukan saja tandas ditutup, sebuah surau yang dibina beribu ringgit di sebelah bawah jeram ini juga telah ditutup. Banyak kemudahan awam ini ditutup dan tidak berfungsi yang tentunya menyukarkan pengunjung untuk menjadikan kemudahan tersebut sebagai suatu kemudahan.
Sikap pihak terbabit yang tidak peka, malas untuk untuk mengambil tahu keadaan di sesebuah air terjun dan jeram menjadikan jeram di negeri kita adalah terkotor.
Pihak Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dan Jabatan Perhutanan Daerah wajar memberikan perhatian dalam hal ini.
Sebatang kayu besar merintangi jeram menjadikan laluan air terhalang.
Sebatang lagi pokok kayu tumbang dibiarkan mereput di tebing jeram.
Keadaan air yang kurang berkualiti akibat daun-daun kayu tenggelam dan berkumpul di dasar jeram.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH