PEMBAKARAN TERBUKA
MASIH berlaku pembakaran secara
terbuka walaupun undang-undang dan peraturan di bawah Akta Kualiti Alam
Sekeliling 1974 melarang aktiviti
sedemikian sama ada dilakukan secara terang atau tersembunyi?
Menurut peraturan itu, denda
sebanyak RM500,000 atau RM10,000 sehari adalah sebagai pengajaran untuk tidak
dilakukan aktiviti yang memusnahkan kualiti udara dan alam sekitar. Namun,
disebabkan kejahilan undang-undang dan pelakunya tidak begitu peka dengan
permasalahan yang bakal wujud akibat aktiviti seumpama itu, walaupun
undang-undang agak berat dan tegas namun penguatkuasaan lemah menyebabkan
aktiviti sedemikian berlaku saban kali.
Sebagai masyarakat, penduduk dan
sesiapa saja yang melihat aktiviti yang tidak sihat itu patut melaporkannya
kepada pihak berkuasa. Bukan saja melibatkan pembakaran terbuka yang boleh
dibuat aduan tetapi aktiviti yang melibatkan penebangan dan pemusnahan hutan,
penggondolan dan membotakkan bukit-bukau dan gunung, mencemari kawasan tadahan
air, membangunkan kawasan tanah tinggi untuk tujuan perumahan dan prasarana,
kolam ternakan dan sebagainya boleh dibuat aduan kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.
Kita perlu ingat, kita yang
hidup di alam dan zaman ini sebenarnya kita meminjamnya dari anak dan
cucu-cicit kita. Anak cucu-cicit kita yang bakal lahir untuk masa akan datang
berhak untuk menikmati kualiti alam ini di zaman mereka nanti. Tetapi hakikat sekarang alam telah semakin ternoda, musnah dan dimusnahkan sewenang-wenangnya, bagaimana pula anak
cucu-cicit kita nanti akan dapat hidup sempurna dan selamat jika beginilah keadaannya?
Satu pertanyaan; mahukan kita
lihat anak cucu-cicit kita nanti menderita disebabkan menyedut udara
kotor, tercemar dan tidak berkualiti? Mahukah kita melihat anak cucu-cicit kita
hidup di zaman air yang kotor, berkelodak, berbau dan berwarna coklat? Mahukah
kita melihat anak cucu-cicit kita menderita, kepayahan dan mati disebabkan
tidak dapat berlindung dari bencana banjir besar disebabkan bukit-bukit
telah dirata, ditarah, diruntuhkan, digondol dan dibotakkan sesuka hati? Mahukah kita melihat anak cucu-cicit
kita hidup tanpa udara berkualiti disebabkan tiga serangkai (hutan, tanah dan
air) dimusnahkan?
Jika kita sayangkan mereka, maka
bermula dari saat inilah kita perlu mengambil tindakan segera. Bertindak bukan
bermaksud perlu membawa senjata untuk memerangi pelaku atau pihak-pihak yang
tidak berhati perut dan tidak berperikemanusiaan itu. Tetapi bertindak ialah
membuat aduan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan.
Pihak berkuasa akan mengambil
tindakan segera apabila aduan dibuat. Tetapi menularkannya dalam media
sosial tidak memberikan sebarang manfaat, kerana pihak-pihak berkenaan tidak
sering menjadikan media sosial sebagai bahan bukti. Salurkan aduan kepada:
1. Kementerian Tenaga, Teknologi
Hijau dan Air (KeTTHA)
2. Ketua Pengarah, Biro Pengaduan Awam (BPA)
3. Badan-badan NGO Alam Sekitar
4. Persatuan-persatuan Pengguna Negeri.
Pembakaran tayar secara terbuka mengundang padah kepada kualiti udara.
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH