REAKTIF: Majalah Maya . Media Pencetus Dimensi Baharu . Memaparkan Berita Terkini . Komentar . Cetusan . Islamisasi . Politik . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmireaktif.blogspot.my . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Sabtu, 19 Oktober 2013

Jeram Linang Perlu Perubahan


JERAM LINANG PERLU PERUBAHAN

MACHANG, KELANTAN:  HUTAN LIPUR JERAM LINANG yang terletak di Hutan Simpan Ulu Sat, Machang, Kelantan adalah sebuah kawasan rekreasi dan air terjun yang tercantik dan terawal dibangunkan di Negeri Kelantan.

Melalui Majlis Daerah Machang (MDM) selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), muncullah suasana dan keadaan Jeram Linang yang ada sekarang. Walaupun agak terlalu sukar membangunkan sebuah kawasan lipur yang terbaik, namun atas usaha pihak berkenaan telah menjadikan Jeram Linang dikenali umum.

Namun, jika dilihat kepada keadaan kawasan hutan lipur berkenaan pada hari ini, kebanyakan kemudahan yang disediakan oleh PBT berkenaan bukan sahaja agak terbiar, uzur dan rosak. Misalnya terdapat bilik persalinan yang sentiasa berkunci, wakaf rehatnya yang agak terbiar dan uzur, daun-daun yang gugur seperti tiada pihak yang memberikan perhatian untuk memungut dan membersihkannya, masalah tandas awam yang tidak mempunyai bekalan air selain baunya yang busuk dan tong sampah yang sudah penuh tetapi tidak dipungut boleh dilihat apabila mengunjungi hutan lipur ini.

Sikap segelintir di kalangan pengunjung yang tidak berhemah juga turut menjadikan kawasan hutan lipur ini dalam keadaan cacat dan tidak sempurna apabila sampah-sarap pembungkus makanan, gelas dan pinggan polistrin dibuang ke merata-rata tempat turut menjadikan kawasan terbabit semakin sakit mata yang memandangnya.

Walaupun terdapat papan tanda yang melarang dan memberikan amaran supaya tidak mencampak dan membuang sampah merata-rata, tetapi sikap pengunjung seperti seorang yang pekak tidak mempedulikan arahan tersebut. Apabila terkena wabak "kencing tikus", kita menyalahkan tikus (mungkin ada pengunjung yang kencing dalam air) disebabkan hal berkenaan sedangkan puncanya ialah dari perbuatan manusia sendiri yang membuang sisa makanan dan sampah ke merata-rata tempat. Inilah suatu hakikat yang kebanyakan pengunjung tidak menyedarinya.

Dalam hubungan ini, kalau ingin melihat suasana di mana kawasan jeram dan air terjun menjadi sempurna dan cantik pihak PBT dan orang ramai patut cakna dan memberikan perhatian terhadapnya. Jika tidak, papan tanda sekadar arahan dan amaran yang sukar diamalkan oleh masyarakat kita.

Wakaf rehat yang semakin uzur.

Bilik persalinan sentiasa ditutup.


Tandas Awam: Pengunjung dikenakan caj 30 sen, tetapi tiada bekalan air.



Tandas awam ini bukan sahaja tiada air tetapi berbau busuk.

Parkir kenderaan dipenuhi sampah dan daun-daun gugur.

Tong sampah yang sudah penuh.


Pengunjung membuang sampah sesuka hati.

Papan tanda larangan membuang sampah tidak dihiraukan.

Kebersihan itu tanggungjawab bersama tidak dipatuhi oleh pengunjung.

 Amaran wabak kencing tikus, mungkin ada pengunjung yang kencing dalam air.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 5 Oktober 2013

Papan Tanda Cacat


PAPAN TANDA CACAT

KOTA BHARU, KELANTAN:  TERDAPAT papan tanda arah jalan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam ini yang didapati cacat tetapi tidak diberikan perhatian wajar terhadapnya.

Salah satu papan tanda yang didapati hilang huruf di pusat bandar ini ialah papan tanda arah laluan di Jalan Parit Dalam bersebelahan dengan Pasar Besar Siti Khadijah dekat Jalan Pintu Pong.
 
Jika papan tanda sedemikian tidak diberikan perhatian dan dibiarkan terbiar begitu, akan mencacatkan pandangan di mata pelancong asing. Walaupun pelancong asing tidak dapat membaca bahasa Melayu, namun jika dilihat keadaan perkataan dan huruf yang tertanggal itu menunjukkan masyarakat di negeri ini tidak cakna tentangnya dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seolah-olah gagal untuk menyempurnakan keadaan.
 
Dalam hubungan ini, diminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) memberikan perhatian tentangnya dengan segera.
 

 
Foto ini dirakam di Jalan Parit Dalam, Kota Bharu, Kelantan pada 5.10.2013.
 
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiga Rumah Terbakar


TIGA RUMAH TERBAKAR

KOTA BHARU, KELANTAN:  TIGA buah rumah, salah satunya telah dijadikan kedai makan rentung dalam kebakaran di Kampung Lundang dekat sini semalam (4.10.2013).

Difahamkan, punca kebakaran itu disebabkan suis peralatan elektrik yang masih terpasang apatah lagi sebelum itu hujan turun yang memungkinkan berlakunya litar pintas berikutan aliran air hujan yang turun melalui bumbung yang bocor.

Akibat kebakaran itu, sebahagian kawasan di kampung berkenaan bergelap sementara. Pihak Bomba dan Penyelamat yang tiba agak lewat disebabkan gangguan lalu lintas dan keadaan jalan yang agak sempit menyukarkan pihak berkenaan untuk tiba di tempat kejadian.



Foto ini dirakam di Kampung Lundang, Kota Bharu, Kelantan pada 5.10.2013.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 3 Oktober 2013

Besi Pembetung Rosak


BESI PEMBETUNG ROSAK

KOTA BHARU, KELANTAN:  SEBUAH besi penutup longkang yang dibina dan siap beberapa bulan lalu di atas laluan pejalan kaki bersebelahan dengan sebuah Bank di Jalan Doktor dekat sini didapati turun dan rosak.

Dalam hal ini, diminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kontraktor terbabit memberikan perhatian dengan membaiki atau menukar barangan terbabit untuk mengelakkan tragedi buruk seperti tersandung dan terperosok ke dalam longkang berkenaan.




Foto ini dirakam di Jalan Doktor, Kota Bharu, Kelantan pada 3.10.2013.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 29 September 2013

Rezeki Dari Sampah


REZEKI DARI SAMPAH

KOTA BHARU, KELANTAN:  WALAUPUN ditakrifkan sebagai sampah, namun dari sampah itu juga boleh menghasilkan pelbagai produk. Salah satu yang jelas ialah, sampah itu juga bernilai wang ringgit jika individu terbabit sentiasa berusaha ke arah itu.

Memandangkan keadaan kegawatan industri pekerjaan dalam negara dan di negeri Kelantan dewasa ini, apatah lagi dengan lahirnya graduan yang menganggur tentunya sektor pekerjaan tidak mencukupi untuk menampung rakyat yang sedia ada.

Sebab itulah, untuk mendapatkan sumber kewangan dan makanan, “rezeki tidak datang bergolek” dan salah satu cara adalah dengan berusaha. Jika wujudnya sifat malu untuk mencari rezeki pastinya tidak akan ke mana, sudahnya mengharapkan simpati orang lain dengan menjadi “pengemis”.

Lihatlah usaha abang dalam foto ini yang begitu gigih mencari barangan terbuang yang boleh dikitar semula untuk tujuan mendapatkan rezeki yang halal. Beliau sanggup “tebal muka” berhadapan dan disaksikan oleh ramai orang, tetapi di atas dasar seorang yang beriman, beliau sanggup berbuat demikian dalam usaha menyara keluarganya.



Foto ini dirakam di Jalan Doktor, Kota Bharu, Kelantan pada 29.9.2013.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Operasi Angkut Motosikal


OPERASI ANGKUT MOTOSIKAL

KOTA BHARU, KELANTAN:  OPERASI Angkut Motosikal telah dilakukan secara besar-besaran oleh pihak Bahagian Penguatkuasa, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) pagi dan petang tadi (29.9.2013).

Operasi pertama dilakukan itu bermula jam 11.30 pagi dan operasi kedua jam 2.40 petang tadi. Mana-mana motosikal yang diparkir di luar petak parkir dan di laluan pejalan kaki akan diangkut menggunakan lori oleh skuad berkenaan.





Foto ini dirakam di Jalan Doktor, Kota Bharu, Kelantan pada 29.9.2013.

Teks dan Foto
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 26 September 2013

Laluan Pejalan Kaki


LALUAN PEJALAN KAKI

KOTA BHARU, KELANTAN: Kerja-kerja pemasangan laluan pejalan kaki telah dilaksanakan pada 25 September, 2013. Namun, tiang papan tanda laluan berkenaan kelihatannya agak terlalu hampir dengan lubang pembetung. Hal seumpama ini pastinya menimbulkan kesukaran pada suatu ketika nanti.
 
 

Foto ini dirakam di Jalan Maju dekat sini pada 25.9.2013.
 
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH 

Ahad, 15 September 2013

Rakyat Perlukan Pembelaan


RAKYAT PERLUKAN PEMBELAAN

PASIR MAS, KELANTAN: "PADA masa dulu, rumah yang maksu tinggal ini adalah rumah buruk (usang), tiada pihak yang ambil peduli. Syukurlah atas keprihatinan jiran-jiran, dapatlah maksu tinggal di rumah ini setelah membaikpulih dan menggantikannya dengan yang baru", ujar Siti Ramlah Yusoff atau Maksu Gayah, 55, dari Kampung Penggu dekat sini kepada Wartawan HARIAN DETIK.

Inilah suatu sketsa tentang masih ramai rakyat di Kelantan yang dihimpit kemiskinan tetapi tiada wakil rakyat yang mengambil tahu tentang nasib mereka. Rakyat diminta memberikan simpati dalam bentuk undi apabila tiba pilihanraya. Selepas itu bukan sekadar batang hidung yang tidak kelihatan, kelibat tubuhnya juga tiada. Sedar-sedar berkereta besar menjengah laluan.

Beginilah nasib Maksu Gayah, untuk mencari sesuap rezeki bagi menyuapkan anaknya yang seramai 10 orang itu, tiada jalan lain selain menjaja makanan dan sedikit minuman. Untuk menjadi pengemis bukan sifatnya.

Gayah menjaja makanan dan minuman ringan secara kecil-kecilan di perkarangan rumahnya untuk mencari sedikit perbelanjaan harian.

Foto ini dirakam di Kampung Penggu, Pasir Mas, Kelantan pada 14.9.2013.
Teks:
AZMI MOHD. SALLEH
Foto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Ahad, 18 Ogos 2013

Lorong Pejalan Kaki Rosak


LORONG PEJALAN KAKI ROSAK

KOTA BHARU, KELANTAN:  SEBATANG lorong pejalan kaki yang dibina dan disiapkan di Jalan Hospital dekat sini beberapa tahun lalu didapati tidak bermutu, rosak dan pecah.

Adakah punca lorong berkenaan mudah rosak disebabkan penggunaan bahan-bahan yang tidak berkualiti atau berpunca kontraktor yang menyiapkannya tidak mempunyai kemahiran dalam bidang berkenaan?

Dalam hubungan ini, adalah wajar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) serta konraktor yang terlibat menampalnya kembali supaya kelihatan elok mata yang memandangnya dan kecacatannya itu dapat diperbetulkan.


Lorong pejalan kaki pecah. Kontraktor terlibat perlu membaiki dan menampalnya.

Foto ini dirakam di Jalan Hospital, Kota Bharu, Kelantan pada 18.8.2013.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 8 Ogos 2013

Wakaf Che Yeh: Suasana Malam Raya


WAKAF CHE YEH: SUASANA MALAM RAYA

KOTA BHARU, KELANTAN: SETIAP kali musim perayaan khususnya malam Hari Raya Aidilfitri di Wakaf Che Yeh dekat sini, orang ramai ramai khususnya perantau dari luar Kelantan akan bertumpu di kawasan ini untuk membeli pelbagai barangan persediaan hari raya yang akan jatuh keesokkannya. Keadaan ini akan menyebabkan pekan Wakaf Che Yeh hiruk-pikuk dengan suara pengunjung apatah lagi keadaan lalu lintas jalan juga menjadi sendat dan sesak.

Di antara barangan yang dijual di Wakaf Che Yeh meliputi pelbagai jenis pakaian dengan harga yang agak murah kerana barangan berkenaan didatangkan khusus dari negara jiran, selain makanan khususnya kek, biskut untuk hari raya, kuih-muih dan nasi serta lauk-pauk. Bukan itu sahaja, barangan pinggan mangkuk, sarung telefon bimbit dan pelbagai lagi turut dijual di sini dengan harga yang berpatutan.

Walaupun situasi yang sama ada di pusat bandar khususnya di Jalan Parit Dalam, namun pengunjung lebih mengenali Wakaf Che Yeh sebagai destinasi kunjungan utama kerana sejak awal mereka telah dimaklumkan oleh keluarga berada di negeri ini tentang tempat yang paling sesuai untuk membeli-belah dengan harga yang agak murah.

Orang ramai mula membanjiri Wakaf Che Yeh sejak waktu berbuka puasa lagi.

Keadaan lalu lintas jalan menjadi sesak di Wakaf Che Yeh di malam Hari Raya Aidilfitri.

Pelbagai jenis biskut hari raya ditawarkan dengan harga yang agak murah.

Foto ini dirakam di malam Hari Raya Aidilfitri 2013 di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan pada 7.8.2013.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 4 Ogos 2013

Papan Tanda Jalan Terlindung


PAPAN TANDA JALAN TERLINDUNG

KOTA BHARU, KELANTAN:  Mungkin orang ramai termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak perasan bahawa sebuah papan tanda jalan yang menghala ke arah Pasir Pekan yang dipasang di Jalan Hamzah dekat sini didapati terlindung oleh "papan iklan".

Pihak PBT terbabit perlu peka tentangnya, buat apa diwujudkan papan tanda jalan itu jika sekadar untuk dipamerkan kepada papan iklan gergasi, ternyata hal berkenaan membazirkan wang semata-mata.
Dalam hubungan ini diminta pihak terbabit memberikan perhatian agar pandangan umum tentangnya tidak menjadi cacat disebabkan terlindung oleh papan iklan berkenaan.


Inilah papan tanda jalan yang dipasang di situ didapati terlindung papan iklan gergasi.

Foto ini dirakam di Jalan Hamzah, Kota Bharu, Kelantan.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Papan Tanda Jalan Cacat


PAPAN TANDA JALAN CACAT

KOTA BHARU, KELANTAN:  Papan tanda jalan amat diperlukan di sesuatu laluan dan tempat untuk memaklumkan kepada pemandu kenderaan mahupun orang ramai agar perjalanan ke sesuatu tempat tidak tersesat jalan. Dalam masa yang sama untuk menunjukkan imej Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar sentiasa cakna tentangnya.

Namun, bagaimana jika terdapat papan tanda jalan yang diwujudkan di sesuatu kawasan dan laluan itu didapati telah cacat dan uzur apabila beberapa huruf yang tercatat di situ didapati telah tanggal? Ini menunjukkan pihak berkuasa yang menguruskan hal terbabit tidak peka apabila mereka membiarkannya begitu sahaja tanpa mengambil tindakan yang sewajarnya.

Sebuah papan tanda jalan yang dibina di Jalan Maju dekat sini didapati huruf yang tertulis di papan itu didapati telah tanggal, namun pihak berkuasa terbabit seperti tidak mengetahui tentang kecacatan tersebut.

Diminta pihak berkuasa berkenaan mengambil perhatian dan tindakan segera untuk memperbetulkan kecacatan itu atau menggantikannya dengan papan tanda jalan yang baru agar tidak menyakitkan mata yang memandangnya.


Tulisan yang dicatatkan didapati telah tanggal, akibatnya menjadi cacat.

Foto ini dirakam di Jalan Maju, Kota Bharu, Kelantan.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH