REAKTIF: Majalah Maya . Media Pencetus Dimensi Baharu . Memaparkan Berita Terkini . Komentar . Cetusan . Islamisasi . Politik . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmireaktif.blogspot.my . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Sabtu, 26 September 2015

Program Komuniti Sihat, Perkasa Negara


PROGRAM KOMUNITI SIHAT, PERKASA NEGARA

KOTA BHARU, KELANTAN: Satu program dikenali "Program Komuniti sihat, Perkasa Negara (KOPSEN)" anjuran bersama Masjid Mukim Lundang, Kota Bharu dengan pihak Jabatan Kesihatan Kota Bharu telah berjaya dilaksanakan pada 19 September, 2015 lalu bermula jam 8.00 pagi dan berakhir kira-kira jam 12.00 tengah hari.
Antara para pesertanya terdiri daripada penduduk kariah/jemaah masjid (golongan pesara/veteran) serta ahli jawatankuasa masjid sendiri yang diketuai Imam Satu Masjid Mukim Lundang, Ustaz Shamsuddin Abdul Rahman (Ustaz Din). Turut serta dalam program jalan kaki kira-kira 10,000 langkah itu adalah kanak-kanak, remaja perempuan dan wanita yang bermula di perkarangan masjid dan berakhir dalam masjid tersebut.

Selepas itu, komuniti Kampung Lundang itu diberikan pemeriksaan kesihatan percuma oleh pihak Jabatan Kesihatan Kota Bharu. Wartawan HARIAN DETIK, Azmi Mohd. Salleh bersama anak bongsu telah turut serta dalam program komuniti ini dan sempat mendapat pemeriksaan secara percuma.

Sebahagian ahli jawatankuasa masjid, jemaah dan penduduk Kampung Lundang berkumpul di laman masjid untuk memulakan program jalan kaki 10,000 langkah.

Peserta jalan kaki melalui laluan bersebelahan masjid.








Wartawan HARIAN DETIK (baju merah) turut serta dalam program jalan kaki 10,000 langkah.


Orang ramai mendaftar di kaunter untuk pemeriksaan kesihatan percuma.




Wartawan HARIAN DETIK mendapat pemeriksaan kesihatan percuma.



Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3http://siartv-3.blogspot.com
 

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 21 September 2015

Papan tanda Sampah


PAPAN TANDA SAMPAH

KOTA BHARU, KELANTAN: Sikap kita tentang sampah memang agak pelik apatah lagi jika di sesuatu kawasan itu telah dipacakkan "papan tanda larangan membuang sampah". Ternyata segelintir di kalangan masyarakat kita menganggap papan tanda itu hanya sekadar batang-batang kayu sahaja. Apa yang ditulis itu agak tidak penting. Begitulah pandangan segelintir pembuat sampah yang hanya tahu membuang dan mencampakkan sampah tetapi tidak faham tentang papan tanda yang melarang pembuangan di kawasan terbabit. Minda masyarakat kita sebenarnya sudah terbalik, jika ada larangan membuang sampah, di situlah sampah penuh dilonggokkan.
 

Amat jelas dengan papan tanda larangan membuang sampah, tetapi di situlah sampah dibuang dan dilonggokkan seolah-olah larangan itu memberikan kebenaran untuk buang sampah.

 Foto ini dirakam di Kampung Lundang, Kota Bharu, Kelantan pada 19.9.2015.
 
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 5 September 2015

Puting Beliung?


PUTING BELIUNG?

KUALA KRAI, KELANTAN: Kejadian demi kejadian melanda Kelantan. Kalau sebelum ini, kita tidak pernah mendengar kejadian bencana sebesar itu, ternyata hal itu kini sudah berubah. Alam semakin berputar menurut kehendak Pencipta-Nya (Allah S.W.T). Bukan kerana alam itu, tetapi kerana perbuatan dan sikap manusia.

Kalau pada tahun lalu (2014), banjir besar melanda Kelantan, tempat tinggi biasanya selamat, tetapi kedatangan banjir 2014 menyebabkan penghuni di tempat tinggi terpaksa berpindah juga. Selepas itu berlaku pula angin kencang.

Di Kota Bharu, pada petang Jumaat lalu berlaku awan hitam membentuk puting beliung (dari pangkalnya) sehingga berarak seperti seekor naga dari arah Tesco melalui Jambatan Sultan Yahya Petra menuju arah Tambatan Diraja, Kota Bharu. Mungkin angin seumpama ini yang pernah menghukum umat-umat Nabi Nuh a.s yang lalai dan tidak beriman kepada Allah S.W.T.

Namun, awan hitam yang yang melanda Kota Bharu masih geram dengan perilaku manusia yang semakin lalai, lara dan lagha sehingga beberapa buah rumah di Kampung Keroh, Kuala Krai dibadai angin kencang yang pada awalnya apabila dilihat dari jauh membentuk awan hitam dan "puting beliung".

Hanya beberapa buah rumah yang runtuh dibadai angin pelik. Kalau di negara-negara Barat, angin seumpama menerbangkan kereta, rumah dan bangunan. Tetapi entahlah, jika manusia masih dengan sikap mereka, apa lagi akan berlaku kita tidak tahu. Kejadian angin kencang paling kuat bermula pada tahun 2009 sehingga tahun 2015.


Rumah ranap dibadai angin kencang membentuk awan hitam dan puting beliung di Kampung Keroh, Kuala Krai, Kelantan pada 26.8.2015 baru-baru ini.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Balak Oh! Balak


BALAK OH! BALAK

BANJIR yang melanda negeri Kelantan khususnya di bahagian Hulu Kelantan pada bulan Disember 2014 lalu adalah sebagai "pengajaran" kepada manusia untuk tidak merubah unsur alam yang terdiri dari air, tanah dan tumbuh-tumbuhan. Jika ketiga-tiga unsur ini diubah, diganggu atau membiarkan diganggu akan merubah struktur alam itu sendiri. Ini kerana, ketiga-tiga unsur ini adalah tiga serangkai yang saling perlu memerlukan antara satu sama lain.

Jika dirosakkan kawasan tadahan air, dua unsur yang berkaitan dengannya akan mengalami masalah. Jika dimusnahkan pokok dan tanah yang meliputi bukit-bukau, gua dan gunung-ganang akan musnah dan jahanamlah kesemua unsur yang lain.

Begitu halnya jika tumbuh-tumbuhan seperti kayu-kayan yang diistilahkan sebagai "balak" ditebang atau menggondolkan kawasan pokok-pokok besar itu, sistem ekologi yang lain akan turut terganggu dan musnah.

Tetapi masalahnya, disebabkan otak manusia ini yang terlalu cerdik melihat "keuntungan" yang bercanda di depan mata, masalah yang wujud itu dipekakkan telinga. Tulislah apa pun tentang alam sekitar, baca dan berilah ceramah tentang ekologi ini akan musnah jika alam sekitar diganggu, namun orang yang pekak akan terus memekakkan telinga dan membutakan mata.

Masalahnya, jika berlaku sesuatu yang tidak diduga seperti tanah runtuh, kawasan tadahan air menjadi tidak seimbang dan banjir kilat atau banjir besar akan berlaku disebabkan pokok-pokok besar ditebang atau dimusnahkan, mereka tidak pedulikan itu semua kerana wang sedang "berjoget" di depan mata. Natijahnya bukan dialami oleh pelakunya, padahnya dialami oleh orang yang tidak berdosa terpaksa menanggung akibatnya.

Paling menghairankan, banyak lori balak yang melalui Jalan Persekutuan di Kuala Krai, bahkan lori-lori balak ini dipandu laju apatah lagi di musim hujan pula adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Jika lori-lori ini terbabas, berkemungkinan balak-balak yang terlucut ikatan akan bergolek sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Sepatutnya aktiviti pemusnahan hutan dan penebangan pokok-pokok besar tidak dibiarkan berlaku atau dilakukan sama ada aktiviti itu berlesen atau tidak berlesen. Walaupun kajian telah dibuat kononnya penebangan yang dilakukan itu tidak memudaratkan alam, tetapi kemusnahan tetap juga berlaku, ini tentunya hasil hutan negeri akan berkurangan. Paling menghairankan pula, ke manakah balak-balak ini dibawa dan untuk siapa malah siapakah yang dapat keuntungannya?

Dari desas-desus, balak-balak ini di bawa ke Tok Bali, Pasir Puteh sebab itulah kebanyakan laluan lori-lori berkenaan menyebabkan laluan (jalan raya) di kawasan terbabit "tidak begitu sihat", cacat dan berlubang di sana-sini.
 

Lori balak ini dipandu laju ketika angin kencang dan hujan lebat melalui Bandar Kuala Krai pada 26.8.2015 baru-baru ini. Ke manakah balak-balak ini hendak dibawa?

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 4 September 2015

Lata Rek Berubah Wajah


LATA REK BERUBAH WAJAH

KUALA KRAI, KELANTAN: Sekali air bah, sekali pasir berubah. Memang berlaku perubahan apabila banjir melanda. Kadang-kadang akibat banjir suasana yang sebelumnya agak menarik telah rosak, sebagaimana yang berlaku di Pulau Impian, Kampung Rong Chenok, Pasir Mas, Kelantan.

Tetapi perubahan yang berlaku ke atas Hutan Lipur atau Air Terjun Lata Rek dekat sini sememangnya agak mengejutkan. Bukan sahaja kebanyakan kemudahan yang disediakan seperti tandas awam rosak dan bumbung kopak serta tercabut, tiangnya patah dan tumbang. Tetapi yang agak peliknya, sebatang sungai yang mengalirkan air dari air terjun itu yang setia mengalir berdekatan bukit berkenaan, kini telah mengalir di bahagian tengah jeram itu pula. Bukan itu sahaja, keadaan pasirnya yang putih telah semakin landai dan runtuh, tidak sebagaimana foto yang dirakam pada 24.9.2011 dulu.

 Tandas awam rosak dan bumbung kopak.

Sebuah premis rosak teruk.


Tanah dan pasir runtuh membentuk caruh air.



Aliran air terjun mengalir di bahagian tengah jeram dan pasir (sebelum ini di tepi bukit).


Tunggul dan kayu hanyut terdampar berdekatan jeram.


Laluan air terjun asal (dulunya kawasan ini adalah Sungai Rek, alirannya berdekatan bukit). Kini telah kering.


Sungai Rek (aliran air terjun asal, foto pada 24.9.2011).

 Pokok buluh liar sebagai bukti tumbuh subur berhampiran Sungai Rek berdekatan bukit itu (foto pada 24.9.2011).

Foto ini dirakam di Hutan Lipur dan Air Terjun Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan pada 26.8.2015.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH