ALAM DAN DUNIA
ALAM dan Dunia ini bukan milik manusia tetapi milik Allah S.W.T.
Allah menjadikan alam dan dunia ini supaya setiap manusia memakmurkan
dan menguruskannya dengan baik, manusia tidak boleh dengan
sewenang-wenangnya melakukannya dengan sesuka hati atau menurut kehendak
nafsu manusia itu (merosakkannya).
Boleh dikatakan "Alam dan Dunia" ini adalah satu
amanah yang perlu dijaga dan setiap berlaku perkara buruk, manusia yang
melakukan kerosakan di dalamnya perlu bertanggungjawab. Kejadian banjir
besar, gempa bumi, tanah runtuh dan kemarau panjang misalnya mungkin
satu ujian dan mungkin juga sebagai bala ataupun bencana yang ditimpakan
ke atas manusia apabila banyak perkara buruk seperti pembunuhan
terhadap sesama manusia, penzinaan, banyak masalah gejala sosial dan maksiat,
menghina sesama manusia ataupun hukum-hukum Allah ataupun juga
disebabkan kelalaian manusia meneroka sumber alam secara batil dan
mengganggu habitat makhluk-makhluk kerdil lain yang ingin hidup sempurna tetapi
akibat diganggu-gugat oleh "tangan-tangan gatal" manusia yang ada otak
tetapi tidak menggunakan otak, maka kejadian buruk terus berlaku.
Kalaulah kejadian buruk berkenaan terkena kepada si pelakunya, sudah
sewajarnya sebagai hukuman yang setimpal terhadap perbuatan mereka,
namun natijah dari kejadian itu turut diterima oleh orang lain yang
tidak berdosa.
Mungkin kejadian kemarau ini disebabkan sikap kita
yang merosakkan alam ini seperti penebangan dan pemusnahan hutan,
menggondol bukit-bukau secara sewenang-wenang sehingga mengganggu
rantaian sistem bekalan air dan makanan, namun kita mendakwa bukan sebab
itu. Kita ramai pakar tentang bidang terbabit dan ada undang-undang
yang berhubung kait dengannya, namun kita tidak pernah mengkajinya.
Apa
saja yang disuakan oleh saintis barat El-Nino, El-Nini, El-Nono,
El-Noni, El-Nana, El-Nuna atau sebagainya adalah sekadar nama, tetapi kejadian
buruk ini disebabkan sikap bodoh manusia yang lalai dan tidak menyedari tentang kejadian berkenaan seringkali berlaku, kerap kali terjadi sehingga
memusnahkan harta benda dan wang ringgit. Ini mungkin baru
permulaan sebagai "fenomena el-nino" yang menyebabkan kemarau panjang
sehingga air semuanya kering (air menyembunyikan diri semakin ke bawah
bumi) kerana dukacita dengan sikap dan tabiat rakus manusia.
Bagaimana jika suatu hari ini, Allah mengizinkan api membakar di
bahagian kota atau dalam bandar dalam sesebuah negara itu dan air tidak
lagi berperanan untuk memadamkan api. Lazimnya, kita mendengar api
membakar di kawasan hutan, tetapi bagaimana jika api berkenaan marak dan
membakar di tengah kota dan bandar pula, bagaimana tindakan kita?
Ingatlah, setiap kejadian buruk itu disebabkan tangan-tangan manusia sendiri sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut
dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya
yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari
balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya
mereka kembali (insaf dan bertaubat)".
(Surah Ar-Rum: ayat 41).
Air menjadi cetek, keruh dan berkelodak bukan kerana fenomena el-nino tetapi disebabkan tabiat rakus manusia.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH