REAKTIF: Majalah Maya . Media Pencetus Dimensi Baharu . Memaparkan Berita Terkini . Komentar . Cetusan . Islamisasi . Politik . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmireaktif.blogspot.my . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Ahad, 25 September 2016

Majlis Pelancaran Buku Che Hashim Latiff


MAJLIS PELANCARAN BUKU
KARYA CHE HASHIM LATIF
DAN
PESTA BUKU & KARNIVAL JUALAN PANTAI TIMUR 2016

KOTA BHARU, KELANTAN: Majlis Pelancaran Buku Karya Che Hashim Latif berjudul Rahsia Tasik Berangan, Ukiran Kasih Ibu, Aku Bukan Kaki Bangku, Budi Tanpa Sempadan dan Pendekar Sufi yang dianjurkan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur telah berjaya pada 25 September, 2016 di Balai Islam Lundang, Kota Bharu.

Antara agenda tersebut adalah ucapan alu-aluan Pengarah DBP Wilayah Timur, Puan Hajah Che Zainab Omar. Manakala ucapan pelancaran buku oleh Bekas Ketua Pengarah DBP, Tokoh Budayawan Kelantan dan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Dato' A. Aziz Deraman.

Selepas itu, gimik pelancaran buku diikuti "Bicara Karya" oleh Puan Nelawati Ngadul, Editor Buku bersama Encik Che Hashim Latiff.

Bersempena dengan majlis itu juga adalah Pesta Buku dan Karnival Jualan Pantai Timur 2016, anjuran Kor Kadet Polis Konstable Kelantan dan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.

Penulis juga dapat bertemu rakan-rakan Penulis lain dan penyair yang turut hadir dalam majlis tersebut.


Ucapan alu-aluan oleh Pengarah DBP Wilayah Timur, Hajah Che Zainab Omar.

Ucapan pelancaran buku oleh Dato' A. Aziz Deraman.

Gimik pelancaran buku disempurnakan oleh Dato' A. Aziz Deraman.

Bicara Karya, Puan Nelawati Ngadul (kanan) dan Penulis buku, Che Hashim Latiff (kiri).

Dato' A. Aziz Deraman (baju batik hijau) dan Hajah Che Zainab Omar.





Penulis dan penyair turut hadir.


Gerai pesta buku.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Selasa, 20 September 2016

Sampah Di Pusat Bandar Kota Bharu


SAMPAH DI PUSAT BANDAR KOTA BHARU

KOTA BHARU, KELANTAN: Sampah memang tidak bersalah kerana ke mana dilempar dan dibuang, sampah akan menurut orang yang melakukannya. Manusia yang melonggok dan membuang sampah saja yang bersalah kerana tidak berhemah, tidak menyedari sampah itu sebenarnya boleh mencemari persekitaran apatah lagi kesihatan.

Sampah juga boleh menarik serangga dan haiwan kotor seperti lalat, tikus dan mungkin juga kucing akan turut tertarik jika ada makanan tersisa dilonggok di situ. Kalau kucing yang memakan sisa makanan itu, tentunya tidak memberikan masalah. Bagaimana pula jika dihurung lalat atau dikerjakan si tikus yang begitu lapar akan melahap.

Sampah apabila dihurung lalat, lalat akan makan dan terbang ke merata tempat dan akhirnya hinggap di tempat yang dituju. Kalau ada makanan baharu, di situlah tempat lalat, sedangkan lalat itu pernah hinggap di tempat kotor dan mungkin juga telah hinggap di tempat najis. Jadi, bagaimana pula dengan makanan yang dihinggap lalat di tempat baharu itu?

Manakala si tikus pula adalah haiwan yang membawa racun di setiap tubuhnya sama ada pada giginya, mulutnya, ekor dan bulunya. Tikus juga suka tempat kotor dan tempat bersih jika ada makanan baharu. Apabila tikus telah singgah di tempat kotor, tiba-tiba tikus berkenaan berpesta kerana terdapat makanan baharu.

Paling sedih pula ialah, sampah dengan sewenang-wenangnya dilonggok di kawasan pusat bandar khususnya pusat bandar Kota Bharu iaitu di Jalan Maju. Apabila dikatakan pusat bandar tentunya menjadi tumpuan umum. Di manakah imej kita sebagai penganut Islam yang gemar membuang dan melonggok sampah seperti itu?

Pemilik sampah itu sepatutnya berhemah dan sampah itu hendaklah dibuang ke dalam tong sampah, kerana individu terbabit boleh melakukannya jika dia bertanggungjawab dan seorang muslim itu wajar menyedari tentang bahayanya sampah dibuang sebegitu rupa. Tidak sepatutnya sentiasa mengharapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memungutnya kerana pada masa itu adalah hari cuti negeri. Justeru, menjadi tanggungjawab individu atau pemilik sampah itu untuk menjaga persekitaran supaya sentiasa bersih dan selamat bukannya membuang atau melonggoknya sesuka hati.


Sampah dilonggok sewenang-wenangnya tanpa memikirkan bahayanya kepada kesihatan dan persekitaran.

Foto ini dirakam di Jalan Maju, Kota Bharu, Kelantan pada 9.9.2016.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 19 September 2016

Padah Buang Sampah


PADAH BUANG SAMPAH

BESUT, TERENGGANU: Di mana-mana pun, sama ada di pantai atau di jeram, masalah yang dibawa manusia adalah sampah dan sisa makanan yang dilonggok dan dibuang merata-rata tempat. Sikap tidak bertanggungjawab ini menyebabkan pemandangan menjadi cacat.

Membuang sampah terutama di kawasan takungan air bersih seperti di kawasan lata, jeram dan air terjun sebagaimana di La Hot Spring, Besut, Terengganu ini sebenarnya suatu sikap yang tidak berhemah dan akan mengundang masalah. Ini kerana, sampah dan sisa makanan akan menjadikan daya penarik kepada serangga dan haiwan kotor seperti lalat dan tikus akan menghurung sampah tersebut.

Lalat yang hinggap di atas sampah akan terbang ke lain-lain tempat dan akan hinggap di atas makanan dan minuman bersih. Begitu juga tikus yang terbau sampah dan makanan tentunya akan menyelongkar sisa makanan itu. Sisa makanan dan sampah yang telah diselongkar itu akan diterbangkan angin lalu memasuki air jeram dan akan hanyut.

Kalau hanyut terus melalui air itu, tidaklah akan membahayakan sangat, tetapi jika sampah yang diselongkar itu hanyut dan terdampar di tepi air jeram, sementelah pula tikus apabila setelah makan, haiwan ini akan membuang najis merata-rata terutama di kawasan air jeram itu.

Najis dan kencing tikus tidak akan mudah musnah jika terdampar di bahagian tepi air jeram. Jadi, jika manusia yang ingin mandi dengan melalui kawasan itu, secara langsung atau tidak akan terkena air najis dan kencing tikus.

Lantas kita salahkan tikus kononnya pembawa penyakit "kencing tikus" yang boleh membawa maut, tetapi hakikatnya adalah masalah diri sendiri yang "bodoh" dan tidak berhemah. Jangan ingat sampah itu tidak membahayakan kesihatan, sebaliknya boleh mengotor dan mencemari alam sekitar yang akhirnya membawa padah kepada manusia sendiri.

Salahkanlah diri sendiri kerana punca segalanya adalah dari sikap, minda dan perbuatan manusia sendiri yang mengotorkan persekitaran yang akhirnya manusia lain yang tidak berdosa yang menerima natijahnya.

Laluan ke La Hot Spring.


Sampah dilonggok di kawasan jeram boleh mengundang padah jika tikus yang mengambil peranan, tikus akan buang najis dan kencing dalam air jeram.

Foto ini dirakam di kawasan jeram La Hot Spring, Besut, Terengganu pada 7.9.2016.

Tulisan dan Foto: 
 AZMI MOHD. SALLEH