SAMPAH DI PUSAT BANDAR KOTA BHARU
KOTA BHARU, KELANTAN: Sampah memang tidak bersalah kerana ke mana dilempar dan dibuang, sampah akan menurut orang yang melakukannya. Manusia yang melonggok dan membuang sampah saja yang bersalah kerana tidak berhemah, tidak menyedari sampah itu sebenarnya boleh mencemari persekitaran apatah lagi kesihatan.
Sampah juga boleh menarik serangga dan haiwan kotor seperti lalat, tikus dan mungkin juga kucing akan turut tertarik jika ada makanan tersisa dilonggok di situ. Kalau kucing yang memakan sisa makanan itu, tentunya tidak memberikan masalah. Bagaimana pula jika dihurung lalat atau dikerjakan si tikus yang begitu lapar akan melahap.
Sampah apabila dihurung lalat, lalat akan makan dan terbang ke merata tempat dan akhirnya hinggap di tempat yang dituju. Kalau ada makanan baharu, di situlah tempat lalat, sedangkan lalat itu pernah hinggap di tempat kotor dan mungkin juga telah hinggap di tempat najis. Jadi, bagaimana pula dengan makanan yang dihinggap lalat di tempat baharu itu?
Manakala si tikus pula adalah haiwan yang membawa racun di setiap tubuhnya sama ada pada giginya, mulutnya, ekor dan bulunya. Tikus juga suka tempat kotor dan tempat bersih jika ada makanan baharu. Apabila tikus telah singgah di tempat kotor, tiba-tiba tikus berkenaan berpesta kerana terdapat makanan baharu.
Paling sedih pula ialah, sampah dengan sewenang-wenangnya dilonggok di kawasan pusat bandar khususnya pusat bandar Kota Bharu iaitu di Jalan Maju. Apabila dikatakan pusat bandar tentunya menjadi tumpuan umum. Di manakah imej kita sebagai penganut Islam yang gemar membuang dan melonggok sampah seperti itu?
Pemilik sampah itu sepatutnya berhemah dan sampah itu hendaklah dibuang ke dalam tong sampah, kerana individu terbabit boleh melakukannya jika dia bertanggungjawab dan seorang muslim itu wajar menyedari tentang bahayanya sampah dibuang sebegitu rupa. Tidak sepatutnya sentiasa mengharapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memungutnya kerana pada masa itu adalah hari cuti negeri. Justeru, menjadi tanggungjawab individu atau pemilik sampah itu untuk menjaga persekitaran supaya sentiasa bersih dan selamat bukannya membuang atau melonggoknya sesuka hati.
Sampah dilonggok sewenang-wenangnya tanpa memikirkan bahayanya kepada kesihatan dan persekitaran.
Foto ini dirakam di Jalan Maju, Kota Bharu, Kelantan pada 9.9.2016.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan