REAKTIF: Majalah Maya . Media Pencetus Dimensi Baharu . Memaparkan Berita Terkini . Komentar . Cetusan . Islamisasi . Politik . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmireaktif.blogspot.my . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Isnin, 19 September 2016

Padah Buang Sampah


PADAH BUANG SAMPAH

BESUT, TERENGGANU: Di mana-mana pun, sama ada di pantai atau di jeram, masalah yang dibawa manusia adalah sampah dan sisa makanan yang dilonggok dan dibuang merata-rata tempat. Sikap tidak bertanggungjawab ini menyebabkan pemandangan menjadi cacat.

Membuang sampah terutama di kawasan takungan air bersih seperti di kawasan lata, jeram dan air terjun sebagaimana di La Hot Spring, Besut, Terengganu ini sebenarnya suatu sikap yang tidak berhemah dan akan mengundang masalah. Ini kerana, sampah dan sisa makanan akan menjadikan daya penarik kepada serangga dan haiwan kotor seperti lalat dan tikus akan menghurung sampah tersebut.

Lalat yang hinggap di atas sampah akan terbang ke lain-lain tempat dan akan hinggap di atas makanan dan minuman bersih. Begitu juga tikus yang terbau sampah dan makanan tentunya akan menyelongkar sisa makanan itu. Sisa makanan dan sampah yang telah diselongkar itu akan diterbangkan angin lalu memasuki air jeram dan akan hanyut.

Kalau hanyut terus melalui air itu, tidaklah akan membahayakan sangat, tetapi jika sampah yang diselongkar itu hanyut dan terdampar di tepi air jeram, sementelah pula tikus apabila setelah makan, haiwan ini akan membuang najis merata-rata terutama di kawasan air jeram itu.

Najis dan kencing tikus tidak akan mudah musnah jika terdampar di bahagian tepi air jeram. Jadi, jika manusia yang ingin mandi dengan melalui kawasan itu, secara langsung atau tidak akan terkena air najis dan kencing tikus.

Lantas kita salahkan tikus kononnya pembawa penyakit "kencing tikus" yang boleh membawa maut, tetapi hakikatnya adalah masalah diri sendiri yang "bodoh" dan tidak berhemah. Jangan ingat sampah itu tidak membahayakan kesihatan, sebaliknya boleh mengotor dan mencemari alam sekitar yang akhirnya membawa padah kepada manusia sendiri.

Salahkanlah diri sendiri kerana punca segalanya adalah dari sikap, minda dan perbuatan manusia sendiri yang mengotorkan persekitaran yang akhirnya manusia lain yang tidak berdosa yang menerima natijahnya.

Laluan ke La Hot Spring.


Sampah dilonggok di kawasan jeram boleh mengundang padah jika tikus yang mengambil peranan, tikus akan buang najis dan kencing dalam air jeram.

Foto ini dirakam di kawasan jeram La Hot Spring, Besut, Terengganu pada 7.9.2016.

Tulisan dan Foto: 
 AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan