REAKTIF: Majalah Maya . Media Pencetus Dimensi Baharu . Memaparkan Berita Terkini . Komentar . Cetusan . Islamisasi . Politik . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmireaktif.blogspot.my . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Selasa, 7 Mac 2017

Pembakaran Terbuka


PEMBAKARAN TERBUKA

MASIH berlaku pembakaran secara terbuka walaupun undang-undang dan peraturan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974  melarang aktiviti sedemikian sama ada dilakukan secara terang atau tersembunyi?

Menurut peraturan itu, denda sebanyak RM500,000 atau RM10,000 sehari adalah sebagai pengajaran untuk tidak dilakukan aktiviti yang memusnahkan kualiti udara dan alam sekitar. Namun, disebabkan kejahilan undang-undang dan pelakunya tidak begitu peka dengan permasalahan yang bakal wujud akibat aktiviti seumpama itu, walaupun undang-undang agak berat dan tegas namun penguatkuasaan lemah menyebabkan aktiviti sedemikian berlaku saban kali.

Sebagai masyarakat, penduduk dan sesiapa saja yang melihat aktiviti yang tidak sihat itu patut melaporkannya kepada pihak berkuasa. Bukan saja melibatkan pembakaran terbuka yang boleh dibuat aduan tetapi aktiviti yang melibatkan penebangan dan pemusnahan hutan, penggondolan dan membotakkan bukit-bukau dan gunung, mencemari kawasan tadahan air, membangunkan kawasan tanah tinggi untuk tujuan perumahan dan prasarana, kolam ternakan dan sebagainya boleh dibuat aduan kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Kita perlu ingat, kita yang hidup di alam dan zaman ini sebenarnya kita meminjamnya dari anak dan cucu-cicit kita. Anak cucu-cicit kita yang bakal lahir untuk masa akan datang berhak untuk menikmati kualiti alam ini di zaman mereka nanti. Tetapi hakikat sekarang alam telah semakin ternoda, musnah dan dimusnahkan sewenang-wenangnya, bagaimana pula anak cucu-cicit kita nanti akan dapat hidup sempurna dan selamat jika beginilah keadaannya?

Satu pertanyaan; mahukan kita lihat anak cucu-cicit kita nanti menderita disebabkan menyedut udara kotor, tercemar dan tidak berkualiti? Mahukah kita melihat anak cucu-cicit kita hidup di zaman air yang kotor, berkelodak, berbau dan berwarna coklat? Mahukah kita melihat anak cucu-cicit kita menderita, kepayahan dan mati disebabkan tidak dapat berlindung dari bencana banjir besar disebabkan bukit-bukit telah dirata, ditarah, diruntuhkan, digondol dan dibotakkan sesuka hati? Mahukah kita melihat anak cucu-cicit kita hidup tanpa udara berkualiti disebabkan tiga serangkai (hutan, tanah dan air) dimusnahkan?

Jika kita sayangkan mereka, maka bermula dari saat inilah kita perlu mengambil tindakan segera. Bertindak bukan bermaksud perlu membawa senjata untuk memerangi pelaku atau pihak-pihak yang tidak berhati perut dan tidak berperikemanusiaan itu. Tetapi bertindak ialah membuat aduan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan.

Pihak berkuasa akan mengambil tindakan segera apabila aduan dibuat. Tetapi menularkannya dalam media sosial tidak memberikan sebarang manfaat, kerana pihak-pihak berkenaan tidak sering menjadikan media sosial sebagai bahan bukti. Salurkan aduan kepada:

1. Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA)
2. Ketua Pengarah, Biro Pengaduan Awam (BPA)
3. Badan-badan NGO Alam Sekitar
4. Persatuan-persatuan Pengguna Negeri.

Pembakaran tayar secara terbuka mengundang padah kepada kualiti udara.

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH