REAKTIF: Majalah Maya . Media Pencetus Dimensi Baharu . Memaparkan Berita Terkini . Komentar . Cetusan . Islamisasi . Politik . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmireaktif.blogspot.my . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Sabtu, 5 September 2015

Balak Oh! Balak


BALAK OH! BALAK

BANJIR yang melanda negeri Kelantan khususnya di bahagian Hulu Kelantan pada bulan Disember 2014 lalu adalah sebagai "pengajaran" kepada manusia untuk tidak merubah unsur alam yang terdiri dari air, tanah dan tumbuh-tumbuhan. Jika ketiga-tiga unsur ini diubah, diganggu atau membiarkan diganggu akan merubah struktur alam itu sendiri. Ini kerana, ketiga-tiga unsur ini adalah tiga serangkai yang saling perlu memerlukan antara satu sama lain.

Jika dirosakkan kawasan tadahan air, dua unsur yang berkaitan dengannya akan mengalami masalah. Jika dimusnahkan pokok dan tanah yang meliputi bukit-bukau, gua dan gunung-ganang akan musnah dan jahanamlah kesemua unsur yang lain.

Begitu halnya jika tumbuh-tumbuhan seperti kayu-kayan yang diistilahkan sebagai "balak" ditebang atau menggondolkan kawasan pokok-pokok besar itu, sistem ekologi yang lain akan turut terganggu dan musnah.

Tetapi masalahnya, disebabkan otak manusia ini yang terlalu cerdik melihat "keuntungan" yang bercanda di depan mata, masalah yang wujud itu dipekakkan telinga. Tulislah apa pun tentang alam sekitar, baca dan berilah ceramah tentang ekologi ini akan musnah jika alam sekitar diganggu, namun orang yang pekak akan terus memekakkan telinga dan membutakan mata.

Masalahnya, jika berlaku sesuatu yang tidak diduga seperti tanah runtuh, kawasan tadahan air menjadi tidak seimbang dan banjir kilat atau banjir besar akan berlaku disebabkan pokok-pokok besar ditebang atau dimusnahkan, mereka tidak pedulikan itu semua kerana wang sedang "berjoget" di depan mata. Natijahnya bukan dialami oleh pelakunya, padahnya dialami oleh orang yang tidak berdosa terpaksa menanggung akibatnya.

Paling menghairankan, banyak lori balak yang melalui Jalan Persekutuan di Kuala Krai, bahkan lori-lori balak ini dipandu laju apatah lagi di musim hujan pula adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Jika lori-lori ini terbabas, berkemungkinan balak-balak yang terlucut ikatan akan bergolek sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Sepatutnya aktiviti pemusnahan hutan dan penebangan pokok-pokok besar tidak dibiarkan berlaku atau dilakukan sama ada aktiviti itu berlesen atau tidak berlesen. Walaupun kajian telah dibuat kononnya penebangan yang dilakukan itu tidak memudaratkan alam, tetapi kemusnahan tetap juga berlaku, ini tentunya hasil hutan negeri akan berkurangan. Paling menghairankan pula, ke manakah balak-balak ini dibawa dan untuk siapa malah siapakah yang dapat keuntungannya?

Dari desas-desus, balak-balak ini di bawa ke Tok Bali, Pasir Puteh sebab itulah kebanyakan laluan lori-lori berkenaan menyebabkan laluan (jalan raya) di kawasan terbabit "tidak begitu sihat", cacat dan berlubang di sana-sini.
 

Lori balak ini dipandu laju ketika angin kencang dan hujan lebat melalui Bandar Kuala Krai pada 26.8.2015 baru-baru ini. Ke manakah balak-balak ini hendak dibawa?

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan