REAKTIF: Majalah Maya . Media Pencetus Dimensi Baharu . Memaparkan Berita Terkini . Komentar . Cetusan . Islamisasi . Politik . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmireaktif.blogspot.my . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Ahad, 6 Julai 2014

Pengkalan Kubor Lengang


PENGKALAN KUBOR LENGANG

TUMPAT, KELANTAN: Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor, Tumpat pada masa dulu begitu tersohor bukan sahaja di negeri Kelantan tetapi juga di luar Kelantan. Apabila pengunjung-pengunjung dari luar ingin melawat Kelantan, tidak sah jika tidak membelikan ole-ole di kawasan itu untuk dibawa pulang.

Kenapa pada masa itu kawasan bebas cukai Pengkalan Kubor begitu tersohor sehingga sering meniti di bibir setiap pengunjungnya apatah lagi ia turut disebarkan ke dunia maya? Salah satu sebabnya ialah, barangan di kawasan itu pada masa itu begitu murah jika dibandingkan dengan lain-lain kedai dan gedung perniagaan di luar sana.

Tetapi kenapa pula kawasan bebas cukai itu kini semakin lengang walaupun di hari cuti hujung minggu? Jawabnya ialah, barangan yang dijual di situ terlalu mahal mengalahkan harga yang ditawarkan di kedai-kedai dan gedung-gedung perniagaan di luar sana. Apatah lagi, keadaan dan suasana di kawasan terbabit agak tidak selesa dan terlalu panas apabila tibanya musim kemarau.

Salah satu sebab lagi ialah, kebanyakan pengunjung tempatan dan luar Kelantan akan mengunjungi Kedai Bebas Cukai Rantau Panjang yang bukan sahaja boleh membuat pilihan terhadap barangan yang diniagakan, bahkan disebabkan harga yang ditawarkan di kawasan itu agak murah malah boleh ditawarkan lagi jika pembeli sudi membelinya.

Justeru, jika kebanyakan peniaga di Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor tidak berubah sikap dengan menjalankan perniagaan atas dasar ingin mendapat berkat dan sambutan dari pelanggan, maka tunggulah kawasan itu pastinya menjadi kawasan perniagaan yang terbiar.






Keadaan Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor lengang di hari cuti hujung minggu.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan